Sabtu, 06 April 2013

Keistimewaan Surah ali-Imran



ALLAH menurunkan al-Quran sebagai petunjuk dalam kehidupan. Sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai panduan, maka dia akan dimuliakan Allah. – Gambar hiasMukadimah
Surah al-Imran.
Segala puji bagi Allah SWT selepas selesai surah al-Baqarah, pada kali ini akan dibincangkan berkenaan dengan surah ali-Imran. Nama surah ini dengan ali-Imran iaitu keluarga Imran kerana terdapat kisah mereka dalam ayat 33 hingga beberapa ayat selepas itu. Surah ini mengandungi 200 ayat.
Kebanyakan ulama dan ahli tafsir menganggap ia termasuk dalam surah Madaniah iaitu diturunkan di kota Madinah selepas hijrah seperti riwayat Ibnu Abbas.
Al-Qurtubi berkata: “Surah ini merupakan surah Madaniah secara ijmak..”
Al-Hafiz Ibn Kathir dalam tafsirnya mengatakan: “Surah ini mempunyai kelebihan yang disekalikan dengan surah al-Baqarah seperti sabdanya: Hendaklah kamu pelajari surah al-Baqarah dan ali-Imran kerana kedua-duanya ibarat dua zahrawani yang memayungi pembacanya pada Hari Kiamat atau kedua-duanya seolah-olah awan yang memayunginya.”
Sebahagian ulama menafsirkan maksud al-Zahrawani dengan dua cahaya.
Mengikut riwayat Muslim dalam sahihnya, surah ini dan surah al-Baqarah digelar sebagai al-Zahrawani iaitu dua bunga (lambang keelokan dan kecantikan).
Surah ini mempunyai beberapa nama yang lain antaranya digelar dengan al-Aman (keamanan), al-Kanz (simpanan dan khazanah), al-Muinah (yang menolong), al-Mujadilah (yang berdebat) dan juga digelar sebagai surah al-Istighfar.
Mengikut riwayat al-Tabrani dan al-Haithami dengan sanad yang daif: “Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang membaca surah yang disebut padanya ali-Imran pada hari Jumaat nescaya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atasnya hingga tenggelamnya matahari.”
Ibnu Abi Shaibah meriwayatkan daripada Abd. Malik bin Umai katanya: “Seorang lelaki telah membaca surah al-Baqarah dan ali-Imran. Kemudian Kaab berkata: “Lelaki ini telah membaca dua surah, sesungguhnya pada kedua-dua surah tersebut terdapat nama Allah apabila dia berdoa nescaya diterima Allah SWT.”
Kaitan dan hubungan surah ini dengan surah al-Baqarah
Al-Alusi dalam Ruh al-Maani berkata: Wajah munasabahnya menyebut bahawa banyak permasalahan mujmal disyarahkan di dalam surah ini.
Surah al-Baqarah sebagai mendirikan hujah dan surah ini sebagai menghilangkan segala syubhat dengan sebab itu diulangi padanya dengan matlamat menyatakan kebenaran dan kesahihan kitab daripada Allah SWT yang berfungsi sebagai petunjuk ke jalan yang sebenar.
Sheikh al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya adalah seperti berikut:

- Kedua-dua surah dimulai dengan menyebut al-Kitab dan keadaan manusia yang dipimpin oleh al-Quran. Pada surah yang pertama disebut tentang orang yang beriman dan yang tidak beriman kepada al-Quran, dan golongan yang ragu-ragu. Sedangkan pada surah yang kedua disebut segolongan orang yang menyeleweng, iaitu orang yang mengikut ayat-ayat mutasyabihat, ayat yang menimbulkan salah faham.
Mereka berbuat demikian dengan tujuan untuk menimbulkan fitnah. Sementara itu, sebahagian lagi orang yang ilmunya sangat mendalam. Merekalah orang yang beriman kepada ayat-ayat yang muhkamat dan mutasyabihat.
Seterusnya, mereka menyatakan bahawa kedua-dua surah ini datang daripada Allah SWT.
- Pada surah yang pertama disebutkan penciptaan Nabi Adam a.s.. Pada surah yang kedua, disebutkan penciptaan Nabi Isa a.s.
Persamaan di antara surah kedua dengan yang pertama adalah kedua-dua kejadian tersebut berlaku di luar ketentuan Allah SWT yang sering berlaku.
- Kedua-dua surah ini mengandungi bantahan terhadap ahli kitab. Akan tetapi pada surah yang pertama, huraian bantahan dinyatakan dengan panjang lebar mengenai kaum Yahudi, tetapi huraian secara ringkasnya tentang kaum Nasrani. Walau bagaimanapun pada surah yang kedua adalah sebaliknya.
Hal ini disebabkan kaum Nasrani datang selepas kaum Yahudi. Oleh itu, pembicaraan tentang mereka menyusul selepas pembicaraan pertama.
- Pada akhir kedua-dua surah ini mengandungi doa. Pada surah yang pertama, doanya memohon kemenangan ke atas orang yang mengingkari dakwah dan yang memerangi pendukungnya, serta permohonan dihilangkan beban yang di luar kemampuan. Hal seperti ini selaras dengan proses permulaan Islam.
Pada surah yang kedua pula, doanya mengajak manusia menerima seruan agama dan memohon ganjaran di akhirat kerana kesediaan menerima agama Islam.
- Surah yang kedua diakhiri dengan masalah yang sejajar dengan permulaan surah yang pertama. Ia dianggap sebagai pelengkap. Surah yang pertama dimulai dengan penegasan bahawa kebahagiaan hanyalah untuk orang yang bertakwa dan surah ini di akhiri dengan firman Allah SWT: Dan bertakwalah kamu kepada Allah SWT supaya kamu berbahagia.
Isi kandung surah ini :
Sheikh Muhammad Abu Zahrah dalam kitab tafsirnya Zahratu al-Tafasir berkata: Kandungan surah ini seperti berikut:
- Penjelasan dengan al-Quran dan pembahagiannya sama ada ayat muhkam dan mutasyabih.
- Dinyatakan kisah keluarga Imran, kelahiran Mariam, kisah Nabi Yahya dan Isa yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT dan kesempurnaan iradat-Nya terhadap makhluk-Nya.
- Penjelasan berkenaan mukjizat Nabi Allah Isa atas beberapa kurniaan seperti mengubati yang buta menjadi celik.
- Mujadalah Nabi SAW dengan Kristian dan Yahudi serta pendedahan akhlak mereka dan juga gambaran sebenar hati mereka.
- Penerangan bahawa Islam pada dasarnya dan maknanya merupakan agama setiap Nabi kerana itulah agama Allah SWT yang kekal abadi.
- Penjelasan berkenaan kefarduan haji dan kesatuan Islam diperlihatkan juga bentuk dan wasilahnya. Begitu juga kefarduan amal makruf dan nahi mungkar.
- Penjelasan berkenaan dengan kewajipan pemimpin umat supaya tidak menjadikan pemegang amanah setia. Di samping itu, menerangkan berkenaan peperangan Uhud dan sebab kekalahannya.
- Menerangkan berkenaan dengan amalan orang munafik dan sikap mereka ketika menang dan kalah.
- Menjelaskan kepada Nabi jika ia didustakan, sebenarnya Nabi-nabi terdahulu telah didustakan seperti ayat 184.
- Penerangan bahawa Allah SWT pasti menguji orang beriman bertujuan untuk menggilap keimanan mereka.
- Penerangan berkenaan dengan akhlak orang yang beriman dan fikiran mereka dan berkaitan penciptaan langit dan bumi. Begitu juga doa dan tadarruk mereka.
- Surah ini Allah SWT menutupi dengan mengajak orang yang beriman supaya berjihad terhadap golongan musyrikin dengan bertakwa dan sabar, di samping membuat persediaan seperti termaktub dalam ayat 200.
Semoga kita menjadi golongan yang mencintai surah ali-Imran dengan membaca, mengkaji, tadabbur, seterusnya mengamalkannya supaya kita menjadi golongan yang benar-benar mendapat petunjuk dan hidayah al-Quran. Amin

Tidak ada komentar:

Posting Komentar