Selasa, 17 September 2013

All England:Chong Wei ke pusingan kedua

Khamis, 8 Mac 2012

KUALA LUMPUR 8 Mac — Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan melepasi pusingan pertama kejohanan All England menundukkan pemain China, Wang Zheming, di Birmingham, England awal pagi ini (waktu Malaysia).

Perlawanan mudah bagi pemain berusia 29 tahun itu dengan hanya mengambil masa 38 minit mengalahkan pemain nombor 16 dunia itu straight set, 21-16 dan 21-11.

Chong Wei akan bertemu pemain perseorangan Denmark, Hans-Kristian Vittinghus pada pusingan kedua kejohanan itu esok.

Beregu lelaki utama negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong turut mara ke pusingan kedua dengan menewaskan beregu Jepun, Naoki Kawamae/Shoji Sato di pusingan pertama juga awal pagi ini.

Beregu nombor enam dunia dari Malaysia itu mengalahkan Naoki/Shoji dengan mata 21-11 dan 21-18 mengambil masa 32 minit.

Mereka dijadualkan bertemu sama ada beregu China, Hong Wei/Shen Ye atau beregu dari Poland, Adam Cwalina/Michal Logosz di pusingan kedua esok.

Pemain perseorangan ketiga negara, Daren Liew turut melangkah ke pusingan kedua menewaskan pencabarnya dari Thailand, Boonsak Ponsana straight set 21-19 dan 23-21.

Liew akan bertemu pemenang perlawanan di antara perseorangan nombor empat dunia, Peter Hoeg Gade dengan pemain perseorangan England, Ouseph Rajiv esok.

Seorang lagi perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng juga cemerlang menundukkan pemain dari Sepanyol, Pablo Abian 21-14 dan 21-18 untuk layak ke peringkat kedua kejohanan.

Wei Feng akan menemui pemain nombor dua dunia, Lin Dan pada pusingan kedua kejohanan esok.

Beregu negara Goh V Shem/Teo Kok Siang bagaimanapun kandas tewas di tangan beregu nombor dua dunia Jung Jae Sung/Lee Yong Dae, 10-21 dan 11-21 manakala beregu campuran negara, Ong Jian Guo/Lim Yin Loo juga dikalahkan pencabar dari Indonesia, Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir, 21-18 8-21 19-21 di pusingan pertama. — BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar