Gempa Bumi Kuat Gegar Aceh, Gegaran Dirasai Di Semenanjung Malaysia
Rabu, 11 April 2012
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia merasai gegaran ekoran gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter di Acheh, Sumatera Utara Indonesia pada Rabu.Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kepada orang ramai menjauhi kawasan pantai di Kedah, Perlis, Langkawi, Pulau Pinang dan Perak yang berpotensi berlakunya tsunami.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut dan berkata gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak.
Gegaran dirasai kira-kira pukul 4.50 petang.
Beliau berkata pihak bomba dari lima balai di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur bergegas ke beberapa kawasan yang merasai gegaran itu selepas menerima maklumat dari orang ramai.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kira-kira 4.47 petang mengenai gegaran yang dirasai di beberapa tempat seperti Ampang dan Jalan Tun Razak.
Dalam pada itu, warga kerja di bangunan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia turut merasai gegaran yang berlaku selama kira-kira 10 minit.
Di KANGAR, gegaran kecil turut dirasai di beberapa lokasi di Perlis, antaranya di Flat Seri Sena di Kampung Bakau yang menyebabkan penghuni flet 12 tingkat itu meninggalkan kediaman mereka dan berkumpul di tempat letak kereta bangunan itu.
Petugas di Bangunan KWSP yang turut menempatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut merasai gegaran kecil selama beberapa minit.
Gegaran turut dirasai penduduk di Kampung Behor Lateh dan kawasan Kuala Perlis.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar