Selasa, 17 September 2013

Festival layang-layang Pasir Gudang

Isnin, 21 Februari 2011

wau

Biarpun festival layang-layang Pasir Gudang memasuki edisi ke-15, namun penganjurannya tetap meriah dan terus mendapat sambutan hangat daripada pengunjung dalam dan luar negara setiap tahun.

Jika sepanjang tempoh itu, festival tersebut sinonim dengan penganjurnya, Johor Corporation (JCorp), namun bermula tahun ini tugas itu mula digalas kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).
Justeru, seiring dengan perubahan tersebut, festival yang menjadi salah satu acara rasmi dalam kalendar pelancongan negeri turut mengalami proses penjenamaan semula dan ia kini dikenali sebagai Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang



Bermula 16 Februari lalu hingga semalam, ruang udara di Bukit Layang-layang, Taman Bandar, Pasir Gudang dipenuhi dengan layang-layang pelbagai bentuk dan warna hasil kreativiti pelayang tempatan dan antarabangsa.

Bentuk buaya, ketupat, sotong, bulat, segi tiga, ikan, pahlawan samurai, naga dan tidak lupa juga wau tradisional mewarnai ruang udara dengan terbang mengikut kelajuan angin di tempat festival berkenaan berlangsung.

Suasana itu bukan hanya membawa kepuasan kepada para peserta, malah memberi keceriaan kepada pengunjung terutamanya kanak-kanak yang membanjiri kawasan berkenaan dan ia terserlah dengan senyuman yang diukir di bibir mereka.

Bertemakan Mewarnai Langit, festival tersebut menyaksikan penyertaan 212 peserta dari 30 negara bagi kategori antarabangsa dan 707 peserta tempatan daripada 139 pasukan untuk kategori kebangsaan.

Pelbagai aktiviti membabitkan penyertaan orang awam dewasa dan kanak-kanak berbilang kaum turut diadakan sekali gus mampu menarik pengunjung antarabangsa yang sememangnya kagum dengan keharmonian tersebut.

Pada tahun ini, penganjur turut menampilkan kelainan iaitu dengan menerbangkan 3,000 wau berlogo KFC secara serentak oleh 3,000 pelajar, sasaran untuk mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada hari perasmian.

Lebih meriah, perasmian festival tersebut disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Astaka Diraja Muzium Layang-Layang petang kelmarin.

Yang Dipertua MPPG, A. Rahim Nin berkata, penganjuran pesta itu juga antara lain menyasar untuk meletakkan Pasir Gudang di persada antarabangsa sekali gus menjadi bandar ternama dalam penganjuran festival layang-layang di mata dunia.

“Bagi menjayakan usaha itu, kami turut menganjurkan lawatan terutamanya untuk peserta antarabangsa ke pelbagai tempat menarik di sekitar Pasir Gudang.

“Kita tidak mahu Pasir Gudang hanya dikenali sebagai kawasan perindustrian tetapi juga tempat yang menarik untuk dikunjungi dan menerusi festival ini, kita berharap ia dapat direalisasikan,” katanya.

Malah, MPPG juga bakal menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak berkuasa Weifang, China untuk menjadikan Pasir Gudang sebagai Bandar Berkembar Layang-layang dengan wilayah berkenaan.

Menurutnya, Weifang yang terletak di Wilayah Shandong sememangnya terkenal sebagai Bandar Layang-layang selain mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik untuk dikunjungi.

Justeru, festival layang-layang berkenaan mampu memberi kepuasan dan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia kepada semua pihak.

Tahun depan, pasti pelbagai jenis layang-layang dengan corak dan motif baru bakal mewarnai langit Pasir Gudang dan ia diharap terus menjadi identiti kawasan berkenaan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar